Semangat dan Ruh

Syed Qutb pernah dihantar menjadi duta Mesir ke Amerika. Lama selepas dia kembali semula ke Mesir dia pernah mengungkapkan kesimpulan dari pengalamannya tinggal di Amerika dengan mengatakan, “Di Amerika segala-segalanya ada kecuali Ruh”

Di dalam diri kita ini ada dua perkara yang menggerakkan kita, yang pertamanya semangat, yang keduanya Ruh.
Marilah hari ini kita berbicara tentang kedua-duanya sebagai seorang manusia, dan sebagai seorang daie.
Semangat itu adalah satu tolakan dalaman yang kuat, dan melonjak-lonjak sehingga mampu menggerakkan tuan punya tubuh apabila satu-satu kemahuan ingin dicapai. Di dalam diri seorang manusia, semangat ini adalah yang menyebabkannya bangun setiap pagi mengejar cita-cita dunia. Semangat inilah yang membuat kita sanggup mengharungi susah payah dan penat lelah. Semangat inilah yang menyebabkan kita sanggup menghabiskan masa berjam-jam di dapur memasak makanan yang sukar apabila kita teringin sangat nak memakannya. Semangat inilah yang mendorong kita untuk keluar berjoging saban hari kerana sangat ingin menguruskan badan. Semangat inilah yang menyebabkan kita sanggup berjaga malam demi menghabiskan episod-episod drama yang diikuti. Dan semangat inilah juga yang menolak kita untuk berhempas-pulas belajar tatkala menjelangnya musim peperiksaan kerana kita sangat ingin lulus dalam peperiksaan.

Semangat didorong oleh kemahuan, dan kemahuan wujud atas ilmu dan kefahaman.

Semakin bertambahnya ilmu dan kefahaman, semakin kuatnya semangat. Ambil contoh pergi bercuti, seseorang mengajak kita bercuti ke pulau A. Mula-mula kita tak rasa teringin utnuk pergi, tetapi selepas diberitahu bahawa di pulau A ada sekian-sekian, dan orang-orang sekian juga akan pergi, dan kita akan terlepas keseronokan yang sekian-sekian, tiba-tiba semangat itu datang, dan menolak kita untuk pergi. Dalam konteks study begitu juga, semakin banyak kita menuntut ilmu kita semakin semnagat untuk belajar.
Dalam konteks seorang daie, semangat ini kita panggil dzatiyah atau hamasah. Sama juga. ianya adalah sebuah tolakan dalaman yang kuat yang melontar jauh-jauh diri seorang daie itu ke satu lembah tarbiyyah yang mendambakan pengorbanan dan obsesi seorang daie itu. Dan tolakan dalaman ini lahirnya dari ilmu dan kefahaman yang bertambah, dari hari ke hari. Kita belajar sedikit demi sedikit intipati Al-Quran, hadis-hadis, sirah Rasulullah, kita belajar tentang dakwah dan tarbiyyah, kita belajar tentang matlamat dan tujuan kita dijadikan. Sehingga tanpa sedar hadirnya sebuah semangat yang meluap-luap dan tidak dapat dibendung yang menolak seorang daie itu untuk bersungguh-sungguh menjadikan tenaga itu sebuah gerakan. maka kita pun bergerak menyeru manusia kepada kebaikan tanpa putus-putus.

Kalau begitu Ruh itu apa? Apa fungsinya? Apa perlunya Ruh kalau sudah ada dzatiyah yang menggerakkan?

Ruh adalah segala-segalanya.
Sedangkan semangat hanyalah satu perkara.

Ruh adalah keikhlasan. Ruh adalah kejernihan hati. Ruh adalah suara hati yang tertaut kepada Allah. Ruh adalah kebenaran. Ruh adalah rindu. Ruh adalah cinta. Ruh adalah tangisan air mata di malam hari yang bening. Ruh adalah perasaan takut membuat dosa. Ruh adalah harapan yang besar kepada Allah. Ruh adalah tawakkal. Ruh adalah tajarrud. Ruh adalah iman. Ruh adalah kesediaan berkorban segala cita-cita, keinginan, dan kecintaan demi Allah. Ruh adalah kemanisan ukhuwwah. Ruh adalah jiwa2 Mutmainnah yang diejmput sendiri oleh ALlah untuk memasuki syurgaNya. Ruh adalah sikap sangka baik dengan teman-teman. Ruh ialah sabar ketika sedang marah. Ruh ialah apabila teman-temanmu memandangmu mereka ingat kepada Allah. Ruh ialah sentiasa mengingati mati dan hari akhirat. Ruh ialah sedar dunia dan akhirat ini adalah satu garis yang bersambung. Ruh adalah hati yang suci, bersih, dan tenang. Ruh ialah jiwa yang bebas dari segala ikatan dunia dan hanya terikat kepada Allah semata-mata.

Manusia pada hari ini punya semangat-semangat yang besar, mana-mana manusia pun, termasuklah daie. Jiwa kita berkorbar, tetapi kita sebenarnya mati.
Kerana ruh telah lama mati.

Apabila Syed Qutb mengungkapkan bahawa “Di Amerika segala-segalanya ada, kecuali Ruh” kita fahami bahawa di situ lautan ilmu amat luas, manusia-manusia di situ amat pintar dengan daya upaya berfikir dan menginovasi ciptaan-ciptaan baru yang menaikkan taraf keselesaan hidup sehingga kehidupan jadi amat lancar dan seronok sekali. Di situ terdapat banyak jiwa-jiwa yang bersemangat, sebab itu saban hari ada gerakan-gerakan yang berlaku yang membawa perubahan-perubahan yang besar. Sebab itu di situ segala-galanya ada. tetapi manusia-manusia mati. Kehidupan menjadi amat hina. Kemajuan teknologi dan kepintaran bercampur-baur dengan sikap-sikap yang meletakkan manusia itu lebih hina dari haiwan. Manusia-manusia bergelut untuk meraih segala nikmat dunia.

Cukuplah menuding jari pada orang, kita ini bagaimana?
Adakah Ruh kita ini hidup atau kita ini sama sahaja dengan manusia-manusia lain yang juga punya semangat yang tinggi?

Dzatiyah itu perlu, tetapi hidupkanlah Ruh mu. Ruh itu didapati dari kalam-kalam Allah yang selalu kita letakkan di tempat tinggi supaya tidak senagaj terlangkah tetapi jarang-jarang kita mahu membacanya apatah lagi mentadabbur. Bukan, kalam ALlah perlu diletakkan dalam hati, bukan di tempat tinggi.
Manakah yang lebih tinggi dari jiwa seorang manusia yang ruhnya hidup dan terpancar bercahaya?
Yang apabila kita memandang ke wajahnya kita tahu dia ‘hidup’ kerana pancaran ruhnya begitu bersinar sekali.
Ruh itu didapati dari jiwa yang tertaut kepada Allah pada setiap saat hidupnya, yang merindui ALlah, yang mencintai Allah, yang tak ingin apapun datang merampas Allah dari masanya. Dan ia disirami dan disimbah dengan kalam-kalam Allah yang mulia, Al-Quran. Sebab itu kita ni tak kan putus asa menyeru manusia kembali kepada Al-Quran, kerana kita mahu menghidupkan jiwa-jiwa yang mati, kosong dari Ruh yang telah berjanji kepada ALlah akan setia menyembahNya, taat dan patuh kepada Nya. Ya, kita mahu hidupkan Ruh itu yang telah lama mati.
Dan hanya jiwa-jiwa dengan Ruh, boleh menghidupkan Ruh.
Apabila Ruh telah hidup, dzatiyah/semangat akan hadir tanpa sedar.
kita mahu menjadi orang yang megajak orang lain dnegan ruh kita yang hidup, takut2 jadi orang yang disebut di dalam hadis ini,
“Segolongan orang-orang yang masuk syurga pergi kepada penghuni neraka. Penghuni neraka lalu bertanya, ‘Bagaimanakah kalian bisa masuk syurga?’ Penghuni syurga menjawab, ‘Tidaklah kami masuk syurga, kecuali dengan apa yang pernah kami pelajari dari kalian.’ Mendengar jawapan itu penghuni neraka berkata, ‘Kami memang mengatakannya namun tidak melaksanakannya’ ” (HR Thabrani)
Ya, hanya Ruh yang akan menolak kita menjadi orang yang pertama-tama mengotakan kata-katanya.
Bukan berkata-kata untuk daie sahaja, tetapi untuk semua. Bangkitlah ruh-ruh yang sepi!!
Saya mengingatkan diri saya dahulu sebelum orang lain.
Allahua’lam.

*credit to an ukhti,moga Allah menganjarmu dengan kebaikan*

No comments:

Post a Comment